Monday, December 23, 2013

Selamat Datang Guru Besar Baharu



Selamat datang kepada Guru Besar iaitu En. Suhaimi bin Muhammad ke SK Paya Bunga untuk memulai tugas sebagai Guru Besar berkuatkuasa pada 3 Disember 2013 dari SK Bukit Losong bagi menggantikan Guru Besar sebelum ini iaitu Pn Rohaya binti Ibrahim. Semoga idea-idea baru dan dasar-dasar pentadbiran yang akan dibawa beliau ke sini untuk membolehkan SK Paya Bunga terus unggul dan cemerlang di peringkat negeri Terengganu kelak. Kami warga SKPB mengalu-alukan kehadiran Tuan Guru Besar ke sekolah ini.


Guru Besar Bertukar


Guru Besar Pn Rohaya binti Ibrahim telah bertukar ke SK Seri Budiman berkuatkuasa 1 Disember 2013. Beliau telah berkhidmat selama hampir 3 tahun di sekolah ini bagi menggantikan guru besar sebelum ini. Selamat bertugas di tempat baharu , pihak sekolah ingin mengucapakan selamat bertugas di tempat baharu dan memohon maaf seandainya ada sebarang kesalahan dan kesilapan serta berterima kasih atas jasa selama berada di sekolah ini.

Salam perpisahan kepada Guru Besar Pn Rohaya binti Ibrahim.
Semoga ceria dan gembira bertugas di sekolah baru.
Kami warga di SK Paya Bunga tetap mengenang jasa dan budi puan.

Sunday, December 1, 2013

Jamuan Akhir Tahun

14 Oktober 2013 - SK Paya Bunga telah mengadakan Majlis Jamuan Akhir Tahun 2013 pada 14 Oktober 2013 hari Khamis,iaitu hari terakhir persekolahan bertempat di Hotel Grand Puteri. Majlis ini dihadiri oleh Puan Guru Besar,guru-guru, kakitangan dan pekerja-pekerja sekolah serta AJK-AJK PIBG.
         Majlis dihidangkan dengan makan tengahari beraneka lauk-pauk,kuih-muih dan pencuci mulut.Majlis jamuan ini bermula jam 1.00 petang dan berakhir jam 3.00 petang.
















Tuesday, November 19, 2013

Keputusan UPSR 2013

14 November 2013 - Pihak Pentadbir sekolah ini telah mengadakan Majlis Penyampaian Keputusan UPSR bagi tahun 2013 bermula jam 10 pagi. Majlis ini dimulakan dengan taklimat ringkas oleh Pn Guru Besar bersama GPK dan  guru-guru UPSR di bilik Mesyuarat SKPB. Majlis ini turut dihadiri oleh ibu bapa murid calon UPSR 2013  dan beberapa orang wartawan dari akhbar juga turut hadir untuk mendengar taklimat.
           Majlis ini  telah dilaksanakan di Dewan terbuka SK Paya Bunga  bersama sama dengan ibubapa dan calon UPSR 2013. Dalam majlis ini Pn Guru Besar, Pn Rohaya binti Ibrahim telah menyampaikan ucapan terima kasih dan tahniah kepada calon UPSR dan guru-guru, PIBG serta semua pihak terlibat yang membantu dalam menaikkan prestasi UPSR pada tahun ini.
           Dalam ucapan beliau menyatakan rasa terharu dan menitiskan air mata di atas kejayaan sekolah ini kerana memperolehi pencapaian UPSR bagi 5A iaitu seramai 3 orang dan 4A 1B seramai 2 orang daripada 10 orang calon yang telah menduduki peperiksaan UPSR pada tahun ini. Selain itu juga pencapaian GPS sekolah turut meningkat naik dari 1.58  ke 1.36 dan menduduki 5 sekolah terbaik dalam negeri Terengganu pada tahun ini adalah merupakan rekod terbaik SK Paya Bunga setakat ini. Alhamdulillah pihak sekolah telah menyampaikan wang hadiah sebanyak RM50 kepada semua calon UPSR 2013. Ucapan terima kasih dan tahniah yang tidak terhingga kepada semua pihak terlibat yang mana menyokong dalam menjayakan program-program kecemerlangan UPSR yang dijalankan oleh sekolah sepanjang tahun ini. 







Sunday, November 17, 2013

Hari Anugerah Kecemerlangan 2013

 13 November 2013 - Sekolah Kebangsaan Paya Bunga  telah mengadakan Majlis Anugerah Kecemerlangan 2013 pada hari rabu, 13 November yang lalu. Majlis ini bermula seawal pukul 8.30 pagi dengan sesi pendaftaran ibu bapa yang hadir untuk memeriahkan lagi majlis ini yang dilangsungkan di dewan sekolah.
         Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk memberi penghargaan kepada murid-murid yang cemerlang dalam bidang akademik dan juga kokurikulum. Penganugerahan ini diharapkan dapat memberi motivasi kepada murid-murid supaya terus cemerlang.
         Majlis ini dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Ridzwan. Kemudian diteruskan dengan ucapan oleh Pengerusi PIBG serta ucapan Guru Besar Pn. Rohaya Ibrahim.Tepat pukul 10.00 pagi, upacara perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu,YBhg. Datuk Hj. Mohd Sabri b.Alwi. Dalam ucapan tersebut, beliau menasihatkan ibu bapa supaya lebih prihatin terhadap pendidikan anak-anak.
         Majlis ini telah diserikan lagi dengan persembahan murid-murid. Antara persembahan yang menarik ialah persembahan tarian tradisional dan kaum di negara kita yang dipersembahkan oleh murid-murid tahap 1 dan tahap 2.Turut serta membuat persembahan iaitu semua murid tahun 6 yang akan meninggalkan sekolah ini nanti.Para tetamu terhibur dengan persembahan –persembahan yang dipersembahkan oleh murid-murid sekolah ini.
         Acara kemuncak ialah penyampaian hadiah kepada murid-murid yang cemerlang dalam akademik berdasarkan keputusan peperiksaan akhir tahun dan peperiksaan KAFA. Murid-murid yang cemerlang serta aktif dalam bidang kokurikulum turut diberikan anugerah.Bagi Anugerah Tokoh pula, Tokoh murid Lelaki telah disandang oleh Adik Muhammad Naim Najmi bin Hazre dan Tokoh Murid Perempuan oleh Adik Siti Nur Suhaila Binti Sariful Anuar.
         Majlis ini berlangsung dengan lancar dan meriah sekali. Para tetamu dihidangkan dengan juadah sejurus selesainya majlis itu. Diharapkan agar majlis seperti ini akan menjadi pendorong kepada murid-murid agar lebih cemerlang pada masa akan datang.













Anugerah Tokoh Murid 2013




Perkhemahan Unit Beruniform SK Paya Bunga

 24 Oktober 2013 - Perkhemahan Unit Berunifrom SK Paya Bunga tahun 2013 telah berlangsung dengan jayanya selama dua hari satu malam bermula 24 hingga 25 Oktober 2013. Seramai 34 orang murid yang  terlibat dalam perkhemahan ini yang terdiri daripada Murid Tahap 2 sahaja. Perkhemahan ini diadakan di Dataran SK Paya Bunga.
           Mereka begitu gembira sekali dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang perkhemahan ini.Pihak sekolah merakamkan jutaan terima kasih di atas komitmen semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

















Monday, November 4, 2013

Anugerah Sekolah Terbaik UPSR berasaskan GPS

24 Oktober 2013 - Baru-baru ini, sekolah ini telah menerima Anugerah Sekolah Terbaik UPSR berasaskan GPS pada peringkat Negeri Terengganu dalam Majlis Karnival Pendidikan dan Anugerah kecemerlangan Pendidikan Terengganu 2013 bertempat di Terengganu Trade Centre (TTC).
            Pihak sekolah mengucapkan tahniah untuk Guru Besar, guru-guru serta seluruh warga sekolah ini atas kejayaan kita bersama dalam peperiksaan UPSR yang lalu dan semoga terus cemerlang pada tahun-tahun seterusnya.





Demonstrasi Memadam Kebakaran

24 Oktober 2013 - Sekolah ini telah mengadakan Demonstrasi Memadam Kebakaran dengan kerjasama pihak Bomba Kuala Terengganu dan telah menjalankan latihan kebakaran sebagai persediaan awal bagi menghadapi situasi yang sebenar apabila berlaku kebakaran di sekolah.
Di dalam latihan ini,guru-guru serta murid diberi pendedahan mengenai langkah awal yang perlu di ambil sekiranya berlaku kebakaran di kawasan sekolah.
Antara langkah yang harus di ambil ialah :
1. Memberi perhatian terhadap bunyi loceng yang panjang.
2. Bersedia untuk bergerak ke tempat yang lapang mengikut laluan yang selamat.
3. Memastikan tidak ada murid yang masih berada di dalam kelas.
4. Memeriksa bilangan murid menggunakan buku kehadiran.
5. Melihat dan mempelajari cara-cara menggunakan Alat Pemadam Api.

         Demonstrasi bermula dengan loceng kecemasan, dengan pergerakan seluruh warga sekolah ke tempat berkumpul mengikut pelan kecemasan yang telah disediakan. Kemudian, seluruh warga sekolah mendengar taklimat dari Pegawai Bomba mengenai langkah-langkah keselamatan yang perlu diketahui oleh semua warga sekolah.
         Seterusnya semua murid dan guru-guru telah ditunjukan dengan demonstrasi memadamkan kebakaran.Beberapa orang guru dan murid telah mencuba menggunakan alat pemadam api untuk memadam kebakaran. Murid-murid juga diberi peluang untuk melihat dan bertanya mengenai kenderaan dan peralatan bomba. Pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada pihak bomba yang telah memberi kerjasama dalam program ini.