Wednesday, April 21, 2010

Kem Bestari Solat & Ceramah Pembentukan Kendiri

Pihak sekolah akan menganjurkan Kem Bestari Solat Siri 2/ 2010 dan Ceramah Pembentukan Diri peringkat sekolah pada 24 April 2010 bertempat di Sekolah Kebangsaan Paya Bunga, Kuala Terengganu.

Kem Bestari Solat akan disertai oleh pelajar Tahap 1 manakala Ceramah Pembentukan Kendiri akan disertai oleh pelajar Tahap 2.

Semua dijemput hadir bagi memeriahkan majlis.

Saturday, April 17, 2010

Perkhemahan Pengakap: Penganugerahan Keris Perak

Seramai 6 orang pengakap kanak-kanak SK Paya Bunga telah dipilih untuk menyertai Perkhemahan Penganugerahan Keris Perak yang bertempat di SMK Bukit Guntong, Kuala Terengganu. Perkhemahan ini menguji dan mengiktiraf pengakap kanak-kanak ini dalam beberapa aspek seperti ahli kembara, ahli pertolongan cemas dan lain-lain.

Tahniah kepada semua ahli Pengakap Kanak-Kanak yang telah lulus semua ujian dan layak menjadi Ketua Sekawan apabila pulang ke sekolah nanti. Semoga semua ilmu yang diperolehi semasa pekhemahan dapat dikongsi bersama-sama rakan-rakan yang lain.

Tahniah juga kepada semua guru yang terlibat semasa perkhemahan ini.

Thursday, April 15, 2010

Smart Reader Competition

Kita semua sudah sedia maklum dengan agenda terkini negara iaitu MBMMBI (Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris).

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) akan berusaha lebih gigih untuk memartabatkan bahasa Malaysia dengan mengukuhkan penggunaannya sebagai bahasa pengantar dalam proses pengajaran dan pembelajaran sejajar dengan matlamat kerajaan dalam Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program literasi kepada murid sekolah rendah akan lebih tertumpu kepada kemahiran membaca dan menulis dalam bahasa Malaysia dalam semua aliran pendidikan.

Smart Reader Competition peringkat sekolah rendah dan menengah telah diadakan pada 14 April 2010 yang lalu. Seramai 6 orang pelajar  ( 2 orang bagi setiap tahap; tahap 1, 2,3) telah dipilih untuk menyertai pertandingan ini yang merangkumi pelbagai kaedah dan kemahiran dalam menyahut seruan kerajaan tersebut:

Peserta-peserta dinilai pada enam tahap berbeza seperti yang dinyatakan seperti berikut:

i. Silent Reading
ii. Reading Aloud (mechanical reading)
iii. Spelling
iv. Aural Oral Comprehension
v. Retell Story
vi. Wall Dictation

Tahniah kepada semua peserta dan guru yang terlibat dalam pertandingan ini.

Nadi Ilmu Amalan Membaca

Suatu tamadun atau bangsa yang bertamadun hanya dapat dibina melalui masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu. Pendekatan yang terbaik untuk membina bidang ilmu sesebuah negara dan menjana perkembangan mental seseorang ialah melalui amalan tabiat membaca yang berterusan dan bukan hanya membaca berorientasikan peperiksaan.

Kajian literasi oleh Perpustakaan Negara Malaysia 1996 mendapati kebanyakan rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun. Kajian juga mendapati keutamaan pelajar membaca ialah untuk tujuan pembelajaran dan sedikit untuk bacaan senggang. Suatu pendekatan yang wajar dilaksanakan untuk memupuk tabiat membaca ialah dengan menubuhkan Program NILAM.

Sehubungan dengan itu, pada 14 April 2010 yang lalu telah diadakan satu taklimat khusus oleh En Mohd Yusoff Mis, Pegawai Teknologi Pendidikan II PKG Bukit Besar, Kuala Terengganu. Taklimat tersebut telah diadakan di bilik mesyuarat bermula 3.00 petang hingga 5.00 petang.

Apakah NILAM?
NILAM atau Nadi Ilmu Amalan Membaca merupakan satu usaha KPM untuk membina tabiat membaca di kalangan murid dengan hasrat mewujudkan masyarakat Malaysia yang cintakan budaya membaca dan budaya ilmu.

Program NILAM ini merangkumi rancangan membina tabiat membaca secara terancang dan berterusan melalui aktiviti-aktiviti galakan membaca di sekolah. Ia merupakan program penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun. Program ini telah mula dilaksanakan dengan Tahun Satu di sekolah rendah dan Tingkatan Satu di sekolah menengah pada 1999 dan penilaian pembacaan mereka diteruskan sehinggalah mareka tamat persekolahan.

Matlamat program NILAM ini ialah untuk membina tabiat membaca di kalangan masyarakat negara ini, khususnya golongan pelajar.

Program ini adalah satu pendekatan yang memberi peluang dan galakan kepada murid-murid menggunakan keupayaan diri dalam membentuk tabiat membaca. Pelaksanaan program secara sistematik disokong dengan dokumen dan rekod yang sahih memudahkan penilaian dan pengiktirafan.

Tuesday, April 6, 2010

Program Menyiapkan Kerja Rumah di Sekolah

Bermula 5 April 2010 yang lalu, pihak sekolah telah menganjurkan Program Menyiapkan Kerja Rumah di Sekolah. Program ini bertujuan bagi menangani masalah murid yang tidak menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru. Program ini melibatkan semua pelajar Tahun 1 hingga Tahun 5. Program ini dijalankan pada setiap hari ahad, isnin dan rabu selama 40 minit selepas tamat waktu persekolahan. Bagi pelajar Tahun 6, program khas untuk UPSR telah diadakan.

Berdasarkan maklum balas ibu bapa, rata-rata bersetuju dengan program ini dan memberi kerjasama yang baik kepada pihak sekolah. Mereka juga berterima kasih kepada guru-guru kerana mengambil berat tentang pembelajaran anak-anak mereka.

Kem Motivasi UPSR

Pada 1 hingga 3 April yang lalu, pelajar-pelajar Tahun 6 telah menjalani satu Kem Motivasi UPSR bertempat di Motel Desa Kuala Terengganu. Semasa kem ini, pelbagai aktiviti telah diatur untuk memenuhi waktu yang ada sepanjang kem ini dijalankan. Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti:

i) ceramah motivasi
ii) 'ice-breaking'
iii) slot mata pelajaran
iv) dan lain-lain

Pemilihan tempat untuk kem kali ini sungguh sesuai untuk para pelajar kerana suasana motel yang damai dan tenang, terhindar dari kesibukan bandar memberi ruang maksimum kepada pelajar untuk menerima ilmu sebanyak yang mungkin. Pelajar juga diharapkan lebih bersemangat untuk belajar kerana peluang yang datang seperti ini mungkin tidak diperolehi oleh kumpulan pelajar yang lain.

Kepada semua pihak yang terlibat, budi kalian hanya Tuhan yang mampu membalasnya. Kepada pelajar Tahun 6, kami doakan kalian beroleh kejayaan yang diharap-harapkan.

p/s: nak tengok gambar yang lain, sila lihat album di bawah

Mesyuarat Agong PIBG Kali Ke-28

Tanggal 26 Mac 2010 yang lalu, Mesyuarat Agong PIBG kali ke-28 telah diadakan dengan jayanya di Dewan SK Paya Bunga. Semua ibubapa memberikan kerjasama yang baik sepanjang mesyuarat ini diadakan. Mesyuarat ini telah dirasmikan oleh Pegawai Pelajaran  Daerah Kuala Terengganu.

Sambutan Maulidur Rasul

 Selawat
Bersempena kelahiran Junjungan Besar Rasullullah S.A.W, pihak sekolah telah mengadakan Sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah. Sambutan ini telah diisi dengan pelbagai aktiviti yang dijayakan oleh semua warga sekolah. Antara aktiviti yang telah dijalankan adalah:

i) Selawat ke atas Rasul Junjungan yang diketuai oleh Ustaz Wan Zamri
ii) Tayangan video bertajuk Rasul Pembawa Rahmat
iii) Ceramah 

Slot untuk kuiz juga diadakan bagi menguji sejauh mana kefahaman murid terhadap tayangan video dan ceramah yang telah disampaikan. Semua murid kelihatan teruja dan bersemangat untuk menjawab soalan dan rata-ratanya memberikan jawapan yang betul. Syabas! Semoga semangat ini dapat diteruskan semasa proses P&P.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan secara tidak langsung dalam menjayakan program ini.
persembahan dari murid-murid

p/s: tahun depan lagi banyak hadiah..jangan lepaskan peluang