Thursday, April 15, 2010

Nadi Ilmu Amalan Membaca

Suatu tamadun atau bangsa yang bertamadun hanya dapat dibina melalui masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu. Pendekatan yang terbaik untuk membina bidang ilmu sesebuah negara dan menjana perkembangan mental seseorang ialah melalui amalan tabiat membaca yang berterusan dan bukan hanya membaca berorientasikan peperiksaan.

Kajian literasi oleh Perpustakaan Negara Malaysia 1996 mendapati kebanyakan rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun. Kajian juga mendapati keutamaan pelajar membaca ialah untuk tujuan pembelajaran dan sedikit untuk bacaan senggang. Suatu pendekatan yang wajar dilaksanakan untuk memupuk tabiat membaca ialah dengan menubuhkan Program NILAM.

Sehubungan dengan itu, pada 14 April 2010 yang lalu telah diadakan satu taklimat khusus oleh En Mohd Yusoff Mis, Pegawai Teknologi Pendidikan II PKG Bukit Besar, Kuala Terengganu. Taklimat tersebut telah diadakan di bilik mesyuarat bermula 3.00 petang hingga 5.00 petang.

Apakah NILAM?
NILAM atau Nadi Ilmu Amalan Membaca merupakan satu usaha KPM untuk membina tabiat membaca di kalangan murid dengan hasrat mewujudkan masyarakat Malaysia yang cintakan budaya membaca dan budaya ilmu.

Program NILAM ini merangkumi rancangan membina tabiat membaca secara terancang dan berterusan melalui aktiviti-aktiviti galakan membaca di sekolah. Ia merupakan program penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun. Program ini telah mula dilaksanakan dengan Tahun Satu di sekolah rendah dan Tingkatan Satu di sekolah menengah pada 1999 dan penilaian pembacaan mereka diteruskan sehinggalah mareka tamat persekolahan.

Matlamat program NILAM ini ialah untuk membina tabiat membaca di kalangan masyarakat negara ini, khususnya golongan pelajar.

Program ini adalah satu pendekatan yang memberi peluang dan galakan kepada murid-murid menggunakan keupayaan diri dalam membentuk tabiat membaca. Pelaksanaan program secara sistematik disokong dengan dokumen dan rekod yang sahih memudahkan penilaian dan pengiktirafan.

No comments:

Post a Comment