Monday, January 4, 2016

Hari Pertama Persekolahan SK Paya Bunga

Kesemua murid tahun satu di SK Paya Bunga bersemangat dan menunjukkan komitmen serta menumpukan perhatian ketika sesi pembelajaran di sekolah itu, semalam.
KUALA TERENGGANU – Kehadiran seramai 25 murid tahun satu pada hari pertama persekolahan semalam, sedikit sebanyak menceriakan suasana Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga yang merupakan antara sekolah memiliki jumlah murid sedikit di negeri ini.
Guru Besar SK Paya Bunga, Suhaimi Mohamad berkata, sekolah tertua di Terengganu itu kini mempunyai seramai 120 murid tahun satu hingga enam, berbanding 113 murid tahun lalu dan pernah mencapai 76 murid pada 2009.


“Kini ada peningkatan seramai tujuh murid berbanding tahun lalu. Sebenarnya kita menerima banyak permohonan untuk kemasukan ke sekolah ini tetapi terpaksa menolak disebabkan ruang bagi menempatkan murid terhad termasuk kemudahan mengajar.

“Tambahan pula kita menggunakan ‘smart board’ untuk mengajar dan ia adalah terhad bagi memastikan semua murid dapat belajar dengan selesa dan memahami sepenuhnya apa yang diajar,” katanya.

Suhaimi berkata, pada 2012, sekolah yang telah melahirkan ramai tokoh itu telah meraikan sambutan bagi tahun ke-100 penubuhannya sejak ia dibina pada 1912.

“Alhamdulillah, kita kini telah lebih 100 tahun ditubuhkan dan berazam akan melahirkan lebih ramai tokoh-tokoh yang bakal memberikan sumbangan besar buat negara,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai hari pertama persekolahan tahun satu, beliau berkata, sesi orientasi yang dijalankan pada 31 Disember lalu bagi murid tahun satu membantu mereka untuk lebih bersedia bagi memulakan hari pertama persekolahan.

Katanya, inisiatif yang disarankan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) itu disokong sepenuhnya dan ia memberikan semangat kepada 25 murid tahun satu di sekolah itu.

“Murid sekarang agak berbeza dengan murid sebelum ini dari segi keyakinan diri, tambahan pula mereka semua memang terdedah dengan sesi pembelajaran di taska dan pra-sekolah.

 “Sesi orientasi yang diadakan sebelum ini juga banyak membantu murid ini, jadi kita jarang melihat situasi murid menangis dan mahu balik mengikut ibu bapa kerana mereka telah terdedah lebih awal dengan sesi persekolahan,” katanya.

Sementara itu, guru kelas tahun satu, SK Paya Bunga, Rosina Arifin berkata, seramai 25 murid iaitu 12 murid perempuan dan 13 murid lelaki telah memulakan sesi tahun satu di sekolah itu.

Menurutnya, dari segi persediaan diri murid, beliau melihat tahun ini murid tahun satu kelihatan lebih bersedia untuk memulakan sesi pembelajaran di sekolah itu.

“Ketika sesi orientasi pada 31 Disember lalu memang ada seorang dua murid yang menangis, tetapi hari ini (semalam) alhamdulillah, tiada yang menangis dan sesi persekolahan berjalan lancar. Murid-murid pun suka berkawan antara satu sama lain dan ia tidak menimbulkan kerisauan bagi ibu bapa,” katanya.

Rosina berkata, dua minggu pertama ini guru yang mengajar tahun satu akan menemani mereka untuk ke kantin sekolah dan selepas itu murid darjah satu akan dipantau daripada semasa ke semasa.

“Dua minggu bermula hari ini (semalam) murid darjah satu akan dibawa oleh guru terakhir yang mengajar sebelum waktu rehat untuk ke kantin sekolah, jadi, mereka akan rehat lebih awal berbanding murid lain. Selepas itu, mereka akan dipantau selepas mereka semua telah membiasakan diri di sekolah.

“Jadi, ibu bapa tidak perlu risau keadaan anak mereka kerana pihak sekolah akan memastikan mereka berada dalam keadaan selesa dan sentiasa bersedia untuk belajar,” katanya. - SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment